Journey To The North Part 4
Tiba Hari Bertolak
Pagi itu, jam 5:45 pagi, suasana rumah sewa mereka terasa asing, kosong, seolah-olah ia sudah tahu bahawa penghuninya akan pergi lama. Jam loceng pertama Jimi, yang diset untuk 'panik', berbunyi nyaring, membuatkan Ali yang sudah siap berpakaian, terkejut sedikit.
Jimi melompat dari sofa. "Aku dah siap, aku dah siap! Mana alarm minum air aku?"
"Dah pukul enam," kata Ali sambil tarik sarung tangan kalis airnya. "Jom."
Mereka mengangkat beg galas mereka – dua raksasa berat penuh harapan dan mee segera. Beratnya terasa menekan bahu, satu peringatan fizikal tentang skala cabaran yang menanti.
Di luar, subuh masih kelam. Mereka mengambil bas awal menuju stesen keretapi. Dalam bas yang lengang, mereka duduk diam. Bunyi roda dan enjin adalah satu-satunya melodi, mengiringi debaran dalam dada mereka. Ali melihat refleksi dirinya di tingkap – topi tebal, muka sedikit cemas tapi mata bersinar.
"Kau rasa, kita akan jadi hero masa balik nanti?" tanya Jimi, memecah kesunyian.
Ali ketawa kecil, bunyi yang agak hambar. "Kita akan jadi orang yang busuk, lapar, dan mungkin ada frostbite sikit. Tapi ya, hero untuk diri sendiri."
Di stesen, mereka menaiki kereta api malam yang akan membawa mereka jauh ke utara, merentasi Sweden. Ia adalah perjalanan yang panjang, hampir sehari suntuk. Sebaik sahaja mereka duduk di petak tidur yang sempit, suasana perjalanan terasa berbeza — ia bukan lagi persiapan, ini adalah permulaan.
Selepas beberapa jam, landskap di luar tingkap mula berubah. Pokok-pokok menjadi semakin kecil, semakin jarang. Salji mula muncul, bukan hanya serpihan, tetapi hamparan putih yang tebal, meliputi segala-galanya. Dunia luar berubah menjadi monokrom biru dan putih.
Ali membuka buku kecilnya dan menyemak nota. "Kita akan sampai Abisko Mountain Station lebih kurang pukul sepuluh malam. Suhu ramalan -12. Lepas check in, terus tidur. Esok pagi baru kita start trek."
Jimi bersandar di bantal. "Bayangkan, Ali. Kita dah kat Arctic Circle. Aurora Borealis, maybe."
"Jangan letak harapan tinggi sangat. Kita kena fokus dengan trek dulu," tegur Ali, namun dia sendiri tak dapat menahan senyuman teruja.
Mereka menghabiskan masa dengan membaca, mendengar lagu dari playlist Spotify Jimi (yang kini sudah termasuk dua lagu folk Sami), dan makan pek makanan berlabel Ali.
"Okey, ini pek hari pertama: tuna, roti keras, dan uncang teh," kata Jimi, menunjuk pek yang baru dibuka. "Tepat macam kau label."
"Bagus. Jangan sentuh pek hari ketiga," Ali memberi amaran.
Malam tiba pekat dan gelap. Kereta api itu akhirnya berhenti di stesen kecil, satu-satunya bangunan yang terserlah di tengah-tengah kepekatan salji.
Abisko Mountain Station. Udara yang mereka sedut sebaik melangkah keluar dari kereta api menusuk paru-paru. Dinginnya berbeza dari Stockholm; ia adalah dingin yang tajam, yang membakar kulit terdedah. Langit di atas mereka kelihatan seperti baldu hitam, dan bintang-bintang berkelip dengan intensiti yang tidak pernah mereka lihat.
Setelah mendaftar masuk dan membuang beg galas di bilik mereka, yang kecil tetapi hangat, mereka melangkah keluar sebentar, hanya untuk merasai suasana.
Di luar, angin senyap. Mereka berdiri di hadapan bangunan itu, dikelilingi oleh kesunyian yang tebal, hanya diganggu oleh bunyi salji berderap di bawah but mereka.
"Sejuk gila," bisik Jimi, nafasnya membentuk awan tebal.
"Ini baru permulaan," balas Ali, sambil membetulkan beanie-nya.
Kemudian, ia muncul.
Jalur kehijauan yang lembut, seperti cat air yang baru dioles, mula menari di kaki langit utara. Mula-mula tipis, kemudian ia memanjang, melengkung, dan bergerak. Hijau itu semakin terang, diselang-seli dengan kilasan merah jambu samar, seolah-olah tirai sutera raksasa sedang melayang di udara.
Aurora Borealis.
Kedua-dua mereka terdiam. Mereka lupa tentang sejuk, lupa tentang beg galas yang berat, lupa tentang trek yang panjang esok. Mereka hanya mendongak, terpukau dengan fenomena semula jadi yang mengagumkan itu.
"Weh Ali," bisik Jimi, suaranya penuh rasa kagum. "Ini... ini lebih dari yang aku bayang."
Ali tidak menjawab. Dia hanya mengangguk, matanya terpaku pada langit. Di saat itu, mereka tahu pengorbanan, kerisauan, dan latihan keras mereka, semuanya berbaloi.
Selepas beberapa minit, cahaya itu mula pudar perlahan-lahan. Mereka menarik nafas dalam, udara dingin mengisi ruang kosong di dada mereka.
"Okey," kata Ali, akhirnya. Dia berbalik ke pintu penginapan. "Esok pagi, kita start. Kungsleden."
Jimi mengangguk, mukanya bersinar dengan kepuasan.
"Jom tidur, bro. Kita perlukan tenaga untuk conqueur trek itu. Dan, aku nak simpan memory aurora ni dalam otak aku sebelum beku."
Mereka masuk ke dalam, meninggalkan dunia yang sejuk dan magis di belakang pintu, bersedia untuk hari pertama mereka di trek Raja.
Pagi keesokan harinya, matahari terbit rendah di kaki langit, memancarkan cahaya jingga pudar ke atas dataran salji. Selepas sarapan berat dan bergambar di papan tanda permulaan Kungsleden (Trek Raja), mereka memulakan langkah pertama mereka di atas salji yang belum terusik.
Dengan beg yang berat, langkah mereka terasa lambat pada mulanya, tetapi ritma perlahan itu segera menjadi meditasi. Mereka mengikuti penanda merah yang ditanam di salji, menunjuk jalan ke hut pertama.
Lapan jam berjalan, tanpa perhentian yang lama. Mereka hanya bercakap sepatah dua, menyimpan tenaga untuk perjalanan.
Jimi melihat ke belakang dan ke hadapan, hanya ada salji, gunung, dan langit.
"Ali," panggilnya, sedikit tercungap. "Kau rasa kita dah jauh dari peradaban?"
Ali berhenti, pandang sekeliling. "Kau tak dengar bunyi kereta, tak nampak lampu bandar. Kita kat sini, bro. Cuma kita dua."
Jimi senyum lebar.
"Jom," katanya. "Kita cari hut tu sebelum gelap. Aku dah lapar, dan aku nak makan pek hari kedua, bukan hari ketiga."
Dengan semangat yang diperbaharui, mereka teruskan langkah, meninggalkan jejak kaki mereka yang pertama di alam liar Artik.
Comments